(Buat ARUSS)
Lautan Harapan
Saat-saat menunggu adalah lautan harapan
Dan pantai .... juga tidak pernah bosan menanti ombak yang datang
Buih-buih putih pecah berhamburan
Dan ia akan kembali dan kembali membawa kerinduan yang tidak pernah lekang
Pasir putih pun tidak pernah habis tersapu
Biar pasang surut air laut menderanya
Bersama sampah-sampah kehidupan yang dicampakkan
Isilah isi-isi hati dengan harapan, biarkan duka dan kecewa musnah ke dasar lautan
Mengalirlah emosi seperti air mengalir
Biarkan hakisan terjadi di sisi-sisi hati
Kerana perasaan juga bisa berubah dimakan waktu yang berjalan
Bersama perkembangan fikir dengan berlalunya percubaan
2. Angkatan 90-an - Shasel
(buat para Arussun)
PERTUBUHAN
Dalam tiap pertubuhan
pasti ada kepala
panca indera
kaki tangan
badan dan tulang urat
Dalam tiap pertubuhan
mesti ada roh tawadu
darah taslim
dan tasamuh
baru boleh tumbuh sihat
Tiap anggota badan
main peranan sendirian
tapi tetap bergandingan
agar pertumbuhan Tubuh Impian
bawa kebaikan; bukan hinaan
Kulit, kuku dan rambut
perlu sentiasa dirapi
jika tidak
pertubuhan jadi serabut
serba serbi
Sedar kewujudan diri
pertubuhan membesar
dari bayi hingga belia
walau ada yang mencela
hayatnya sehari cuma
Kini pertubuhan kian
dewasa, walau belum
setahun jagung, namun
suaranya mesra dilaung
ingin merangkul gunung.
31 July 2008
Alaf Baru + 90-an = Arus Baru
===>
Elmi, teruskan bersuara dengan suara arus menentang arus...
Shasel, perjuangan beronak duri...
Terima kasih kerana hikmah kematanganmu selama ini...
Mudah-mudah sepuluh tahun lagi, masih lagi kita berdiri...
Wassalam.
